Skip
← Kembali ke beritaKerjasama

Kunjung Hormat WANIDA ke Albukhary International University (AIU): Jalinan Kerjasama Strategik Demi Masyarakat

Kunjung Hormat WANIDA ke Albukhary International University (AIU): Jalinan Kerjasama Strategik Demi Masyarakat

Alhamdulillah, satu sesi kunjungan hormat oleh WANIDA ke Albukhary International University (AIU) telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Oktober 2026. Pertemuan yang amat produktif ini telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa komuniti melalui pendidikan, keusahawanan sosial dan kebajikan.

Sesi perbincangan antara delegasi WANIDA dan AIU

Hasil perbincangan bersama pihak AIU, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk berkolaborasi dalam beberapa agenda utama:

1. Siri Webinar WANIDA x AIU

Siri pertama bakal membuka tirai pada bulan November 2026. Siri ini tidak hanya memfokuskan kepada isu wanita semata-mata, tetapi turut membincangkan pelbagai dimensi pembangunan masyarakat termasuk kepimpinan, pendidikan, kesihatan, ekonomi, keusahawanan, kesejahteraan sosial, dasar awam, alam sekitar, perubahan iklim, transformasi digital, hak asasi manusia, perpaduan, sukarelawan dan pembangunan komuniti.

2. Program Khidmat Komuniti (Community Engagement)

AIU menyambut baik cadangan untuk menjalankan program komuniti bersama WANIDA ke atas kumpulan sasaran pilihan dan komuniti rentan (vulnerable groups).

3. Meluaskan peluang pendidikan tinggi untuk anak tempatan

WANIDA menyokong sepenuhnya kepentingan pendidikan sebagai satu cara mobiliti sosial dan menyeru agar belia Kedah khususnya mengambil peluang untuk melanjutkan pendidikan tinggi di AIU. Antara kemudahan yang disediakan oleh AIU:

  • Pembiayaan penuh pengajian (Fully Funded)
  • Kemudahan asrama penuh (Fully Residential)
  • Elaun bulanan sebanyak RM500 sepanjang tempoh pengajian

WANIDA komited untuk membantu menyebarkan kesedaran tentang kepentingan ilmu serta mempromosikan peluang keemasan ini melalui platform-platform kami, sekali gus mengatasi cabaran dan persepsi masyarakat setempat mengenai pendidikan tinggi.

Delegasi

Delegasi WANIDA dan barisan AIU

Barisan AIU diketuai oleh Naib Canselor dan Presiden AIU, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar (FASc, FIEM, FAPM), bersama Ts. Abu Bakar bin Ngah, Pengarah, Centre for Community and Industry Engagement (CCIE), AIU, serta para pegawai lain termasuk dekan pusat pengajian di AIU.

Delegasi WANIDA pula diketuai oleh Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, bersama Cik Sharima Ruwaida Abbas, Naib Pengerusi I, serta beberapa ahli jawatankuasa yang lain.

Penyerahan cenderamata antara WANIDA dan AIU

Jutaan terima kasih diucapkan kepada AIU atas kesudian untuk berkolaborasi bersama-sama memperkasakan komuniti kita, serta kepada barisan AJK WANIDA yang hadir memberikan komitmen padu sepanjang kunjungan hormat ini. Semoga usaha murni ini dipermudahkan dan memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Lihat semua gambar di Galeri.

#WANIDA #AIU #KerjasamaStrategik #PemerkasaanKomuniti #PendidikanUntukSemua #KunjungHormat